untuk membaca Part 1, skrol ke entri terdahulu.
Menginjak keluar dari alam persekolahan merupakan pengalaman yang baru bagi saya. Dari seorang pelajar sekolah elit yang mana guru-gurunya bertungkus-lumus berusaha mengadakan kelas tambahan supaya kami berjaya, segalanya kini tergalas di atas bahu sendiri. Lebih-lebih lagi kebanyakan pensyarah kami adalah pensyarah sambilan dan bukan yang berpengalaman seperti di kolej matrikulasi pusat yang lain. Kebanyakan pelajar lain berasal dari sekolah menengah yang sama, jadi pada ketika itu jelas sekali sudah ada yang mempunyai kumpulan masing-masing. Di situ saya mengenali erti berusaha. Saya keluar dari zon selesa saya untuk merasa tinggal satu tahun di negeri sendiri.
Agak sukar untuk membina persahabatan baru pada waktu itu, justeru pada hari pertama kelas bermula, saya memilih untuk duduk di barisan paling hadapan. Tidak sangka ada juga dua gadis kacukan Cina-Iban yang juga seperti saya dan seorang jejaka pemalu yang turut memilih untuk duduk di situ. Persahabatan yang terjalin pada hari itu masih kekal hingga ke hari ini.
Oh ya, berbalik pada cinta pertama saya. Dia merupakan antara orang yang sudah punya kumpulannya sendiri kerana dia bersekolah menengah di salah sebuah sekolah yang berprestij di Sarawak. Jadi, ramai di kalangan rakan-rakannya berada di kolej dan kelas yang sama….dan sudah pasti mereka menguasai bahagian tempat duduk di belakang kelas. Sudah ada jarak antara kami di situ. Akan tetapi, saya cepat dikenali kerana saya merupakan pembekal gula-gula mentos dan polo tetap di dalam kelas kami. Kerana rumah saya berdekatan dengan kolej, setiap hujung minggu saya akan pulang ke rumah dan sebelum kembali ke asrama, ibu akan membawa saya membeli barang makanan untuk dibawa sekali. Oleh kerana saya tidak suka makan biskut dan jajan atau minum kopi 3-dalam-1, jadi yang saya borong adalah gula-gula, yang kemudiannya dihulur-hulurkan ke sekeliling kelas untuk menahan kantuk. (Apa relevannya kisah gula-gula ini dalam kisah cinta saya, akan terjawab kelak).
Pada peringkat itu, F pada mata saya adalah salah seorang ahli kumpulan yang selalu bergerak bersama-sama ke mana mereka pergi dan mereka juga bergilir-gilir ponteng kelas. Oleh kerana slip kehadiran kelas selalunya akan berakhir di tangan saya, jadi saya tahu siapa yang tidak hadir ke kelas. Sehinggalah pada suatu hari, saya bertandang ke bilik sebelah untuk melepak bersama kawan baik yang baru saya kenali. Kawan saya itu sedang memujuk seorang lagi rakan sebiliknya yang sedang menangis kerana rindukan keluarga. Untuk memujuknya, saya menceritakan kisah saya mula-mula masuk sekolah asrama di Kuala Lumpur. Setelah dia tenang, kami berborak-borak. Rupa-rupanya, dia bersekolah di sekolah menengah yang sama dengan F. Perbualan dilanjutkan dan dia menceritakan tentang satu-satu perihal kawan-kawannya iru. Saya mengatakan saya satu kumpulan dengan F pada minggu suaikenal dan saya rasa F menarik perhatian saya, Gadis yang pada mulanya bermata bengkak kerana menangis itu terus teruja dan merancang untuk mengenalkan saya dengan F.
Tanpa pengetahuan saya, rakan baru saya itu telah menyerahkan buku nota Fizik saya pada F ketika saya pulang bercuti hujung minggu di rumah. Dan tanpa saya sangka juga, gadis yang suka menangis itu juga adalah antara agen berita yang paling berjaya di millennia baru ini. Dalam jangka masa yang singkat, semua ahli kumpulan (mari kita namakan mereka kumpulan Gagak Hitam) sudah mula menyakat-nyakat F di kelas setiap kali saya lalu. Saya pula buat-buat tak dengar usikan mereka dan setiap kali rakan-rakannya mengusik begitu F akan memandang dinding.
Oleh kerana kolej kami terdiri daripada beberapa deretan rumah kedai, kawasan tempat pelajar-pelajar melepak di situ adalah agak terhad. Kebanyakan masa terluang dihabiskan di cyber café. Terdapat 3 cyber café di situ tempat kami menghabiskan masa lapang. Pada masa itu, ruangan chat di mIRC agak terkenal dan kami mempunyai laman chat sendiri untuk kolej kami. Saya tidak pasti bagaimana F mendapat tahu ‘nickname’ yang saya gunakan (iaitu AMidALa^^, seperti URL blog saya)…tetapi tidak lama selepas itu dia menyapa saya. Bermulalah perkenalan kami di alam maya, walaupun sehingga tika itu…kami masing-masing masih buat muka selamba ketika berjumpa di kelas.
**Amacam....still wanna know what happen next?
2 comments:
cite dongeng ke pe nie bolo?hehe
memory of my youth....hahahaha...bikin drama guwe di sini
Post a Comment